Ular tedung 3.35 meter ditangkap di bawah dapur rumah
Ular tedung 3.35 meter ditangkap di bawah dapur rumah
LIPIS : Ular tedung sepanjang 3.35 meter berjaya ditangkap di bawah dapur sebuah rumah penduduk Kampung Kuala Lentang, dekat sini, semalam.
Sebelum itu, penduduk berkenaan, Siti Esah Ishak berkata, dia terkejut apabila bunyi suara beberapa ekor ayam peliharaannya berbunyi kuat yang luar biasa di bawah rumahnya ketika sedang berada di dapur.
“Apabila saya menjenguk di bawah rumah berdekatan ruang dapur ini, mendapati seekor ular tedung selar melingkar dan mengangkat kepalanya apabila terdengar suara ayam.
“Saya menjerit memberitahu jiran dan dia terus terus menghubungi Balai Bomba Kuala Lipis untuk meminta bantuan menangkap ular tedung selar yang agak panjang dan besar,” katanya.
Katanya, dia tidak tahu berbuat apa-apa dan berasa takut kerana bimbang kalua ular itu masuk ke dalam rumah dan itu kali pertama melihat ular tedung selar yang besar menceroboh kawasan rumahnya.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada anggota bomba kerana bertindak pantas menangkap ular tersebut setelah mereka tiba dan semuanya selamat dalam kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba (BBP) Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, selepas menerima panggilan pada jam 3.30 petang semalam, anggota bomba bergegas ke lokasi di Kampung Kuala Lentang.
Beliau berkata, seramai lapan anggota bomba tiba di rumah berkenaan pada pukul 3.52 petang dan mengesahkan seekor ular tedung selar melingkar di bawah rumah berdekatan ruang dapur kediaman milik Siti Esah Ishak.
“Kita meneruskan tugasan menangkap ular tersebut dengan menggunakan dua buah alat penjerut dan operasi selesai kira-kira 20 minit kemudian, ular tesebut dipercayai keluar dari kawasan semak berdekatan untuk mencari makanan di kawasan kediaman penduduk,” katanya.-SAHIH.