Jangan rosakkan poster parti
Jangan rosakkan poster parti
LIPIS – Dakwaan ada pihak yang tidak bertanggungjawab bertindak merosakkan poster bahan kempen di sepanjang jalan berdekatan Kampung Tanjung Bungor pada petang ini adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, hasil pemantauan oleh anggota polis Pondok Polis Kerambit, mendapati poster yang digantung itu rosak disebabkan berlaku hujan lebat dan ribut kira-kira pada jam 5.00 petang hingga 6.30 petang.
“Pemantauan mendapati, bahan poster kempen tersebut diperbuat daripada kertas semata-mata tanpa lapisan plastik menyebabkan mudah koyak dan basah ketika hujan serta risiko tercabut amatlah tinggi.
“Pasukan pemantauan dan siasatan telah melawat ke lokasi yang didakwa berlaku pengkhianatan itu, serta bertanya orang ramai yag tinggal berdekatan,” katanya.
Katanya, kejadian sama turut berlaku di Kechau Tui yang melibatkan poster kertas biasa yang koyak terkena hujan.
“Poster yang digantung itu hanya dilekatkan guna ‘stapler’ dan gugur ke tanah sebab terkoyak apabila basah disebabkan hujan.
“Saya turut bertanya orang berdekatan dan memaklumkan kepada Ketua Cawangan UMNO Kechau Tui, pihak mereka sudah sedia maklum dan poster baharu akan digantung dengan yang baharu,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai agar menghormati semua parti yang bertanding dan menjunjung system demokrasi negara serta jangan merosakkan poster dalam tempoh berkempen yang bakal berakhir menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 19 November ini.-SAHIH.