Konvoi motosikal dekati rakyat di Kampung tradisional
Konvoi motosikal dekati rakyat di Kampung tradisional
MARAN – Selain berkempen melalui media sosial, pendekatan turun padang dilihat masih relevan dan berkesan.
Bagi memastikan tempoh kempen yang terhad dimanfaat sebaik mungkin, kaedah menyantuni pengundi melalui konvoi bermotosikal antara paling popular.
Tidak terkecuali calon BN parlimen Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang meluangkan masa menaiki motosikal untuk mengunjungi penduduk sekitar Kampung Berkat, dekat Luit.
Beliau bersama calon BN kerusi DUN Luit, Jamaluddin Md Marzuki menggunakan motosikal dalam program Ziarah Kasih di kampung itu.
Shahaniza memaklumkan beliau sangat gemar melakukan aktiviti mengunjungi kediaman penduduk kerana ia adalah peluang terbaik berjumpa dengan mereka.
“Program sebegini membuka ruang kepada saya berjumpa empat mata dengan penduduk setempat dan boleh mendengar dengan lebih jelas luahan hati mereka.
“Perbualan antara saya dan penduduk juga lebih bebas dan santai, jadi kita boleh dengar isi hati mereka dan apa yang mereka mahu lihat di Maran ini,” katanya.
Shahaniza memaklumkan kebanyakan penduduk ditemuinya berharap perubahan lebih baik dapat dilakukan di daerah Maran.
Katanya, selain agenda pembangunan lebih mampan, penduduk di Maran juga mahu lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi dapat diwujudkan dalam masa terdekat.
“Saya sentiasa berkongsi dengan penduduk mengenai apa usaha yang sudah saya lakukan untuk Maran dan apa perancangan masa depan untuk daerah ini.
“Mereka mahu saya teruskan segala perancangan itu dan berharap sebuah kerajaan stabil dapat ditubuhkan selepas PRU15.
“Semua impian penduduk Maran akan saya cuba realisasikan dan meminta mereka untuk terus menyokong saya dan BN di Pahang,” katanya.-SAHIH