Lori gagal brek turun bukit, langgar treler dan kereta, pemandu nyaris maut
Lori gagal brek turun bukit, langgar treler dan kereta, pemandu nyaris maut
BENTONG – Sebuah lori telah terlanggar bahagian belakang treler dan bergesel dengan sebuah kereta Proton Saga yang berada di hadapannya mengakibatkan berlaku kemalangan di KM 42.9, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke timur.
Kejadian itu berlaku pada jam jam 9.20 malam, semalam, ketika lori tersebut dari Ipoh ke Kuantan yang dipandu oleh warga tempatan berusia 37 tahun bersama kelindannya sedang menuruni bukit dan brek lori yang dipandunya itu tidak berfungsi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan itu melibatkan tiga buah kenderaan, sebuah lori dipandu oleh lelaki warganegara tempatan serta kelindan, sebuah treler dipandu lelaki warganegara tempatan berusia 42 tahun dan sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berusia 32 tahun.
“Akibat kemalangan tersebut, seorang pemandu lori, kelindan serta seorang lelaki telah mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dibawa menerima rawatan di Hospital Bentong.
“Lori yang melanggar belakang treler remuk di bahagian hadapan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Zaiham memohon kerjasama semua pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Dinasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan berada dalam keadaan selamat untuk pemanduan,” katanya.-SAHIH.