PSS SK Lepar Utara 1, wujud krew penyiaran dan kewartawanan kalangan murid
PSS SK Lepar Utara 1, wujud krew penyiaran dan kewartawanan kalangan murid
JERANTUT – Sekolah Kebangsaan Lepar Utara Satu (SKLU1) mewujudkan krew TV PSS SEPARATU yang mempunyai wartawannya sendiri di kalangan murid sekolah itu untuk melaporkan sebarang program yang ada di sekolah itu.
Guru penasihat Pusat Sumber Sekolah (PSS) sekolah itu, Nurul Afifah Rahim berkata, sekolah tersebut turut mempunyai saluran Youtube sendiri untuk dimuatnaik sebagai tatapan umum khususnya penduduk di Felda Lepar Utara 1 dan golongan pendidik.
Katanya, idea mencetuskan krew wartawan ini sebagai satu latihan kepada murid dalam bidang bahasa untuk lebih yakin berdepan dengan khalayak ramai.
“Tugasan pertama krew wartawan seramai 12 orang semasa program melukis dan mewarna kain rentang sempena Majlis Maulidur Rasul 1444H sekolah itu.
“Krew ini bukan sahaja menjadi hos tetapi turut menerbitkan program dan dimuatnaik ke saluran Youtube sekolah dengan bantuan guru,” katanya.
Katanya, selepas itu mereka (murid) boleh melakukan sendiri dan sebelum dimuatnaik ke saluran itu, perlu disemak oleh guru.
“Menariknya, krew yang dipilih kebanyakannya murid yang dianggap pendiam yang terdiri murid tahun 2 hingga 6, tetapi mereka menyerlah dalam bidang kewartawanan dan penyiaran. Pihak sekolah turut memberi sokongan penuh kepada PSS dan krew ini,” katanya.
Sementara Guru Besar sekolah itu, Hakimi Hamdan berkata, kewujudan krew penerbitan PSS itu sebagai meningkatkan kemenjadian murid sekolah itu.
Katanya, sokongan daripada pihak guru dan ibu bapa turut memberi semangat kepada murid sekolah seramai 420 orang menyertainya.
“Ada yang berebut-rebut untuk menjadi anggota krew itu, tetapi satu tapisan bakat perlu ada kerana tugasan ini bukan senang kerana mereka perlu peka dengan keadaan sekeliling semasa sesuatu program itu dijalankan.
“Saya juga dimaklumkan ibu bapa kepada krew sekolah ini turut memberi perangsang kepada anak masing-masing sebagai latihan pengucapan awam yang membantu mereka dalam penulisan,” katanya.-SAHIH.