Ugut melalui Whatsapp, lelaki larikan seorang remaja perempuan ditahan
Ugut melalui Whatsapp, lelaki larikan seorang remaja perempuan ditahan
JERANTUT – Ekoran hantaran pesanan cubaan ugutan melalui aplikasi Whatsapp, seorang lelaki berusia 18 tahun yang melarikan seorang remaja perempuan berusia 20 tahun ditahan polis di Maluri, Kuala Lumpur kira-kira 6.15 petang, semalam.
Anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut telah pergi ke lokasi penahanan setelah menerima maklumat
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, bapa mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Tahan setelah menerima pesanan berupa ugutan itu dan bimbang dengan keselamatan anaknya, kira-kira jam 7.45 pagi semalam.
“Melalui pesanan Whatsapp yang diterima oleh bapa mangsa yang hilang itu daripada nombor yang tidak dikenali, berupa ugutan meminta wang dan ‘settle’ dengan baik ekoran melarikan seorang remaja perempuan itu.
“Sebelum penahanan lelaki itu, remaja Nor Syamira Ahmad Anafiah berusia 20 tahun dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas habis bekerja di sebuah hotel di Kuala Tahan di sini pada jam 5.00 petang pada Jumaat,” katanya melalui kenyataan media.
Katanya, sebelum itu, bapa mangsa, berusia 47 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Tembeling pada Jumaat selepas disedari oleh kakak mangsa atas ketiadaan adiknya.
“Kakaknya memaklumkan Syamira mahu keluar membeli air kira-kira 4 petang hari tersebut dan cuba menghalang dan memintanya tunggu sehingga habis waktu kerja, tapi dia beritahu terlalu dahaga.
“Selepas menyedari Syamira masih tidak balik ke pusat peranginan itu, kakaknya menyangka motosikal yang digunakan adiknya kehabisan minyak dan keluar mencari dan mendapati motosikal ditemui di tepi jalan kira-kira 400 meter dari pusat peranginan itu,” katanya.
Katanya, pasukan polis menahan suspek seorang pelayan restoran di Maluri dan membawa mangsa ke Jerantut untuk tindakan lanjut dan polis turut merampas telefon bimbit suspek. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.-SAHIH.