Bekas anggota pancaragam brass SMKI meriahkan penutupan bulan kemerdekaan
Bekas anggota pancaragam brass SMKI meriahkan penutupan bulan kemerdekaan
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura (SMKI), Jerantut ‘ambil alih’ pancaragam brass sekolah itu ketika menyambut hari penutupan bulan kemerdekaan yang diadakan hari ini.
Lebih menarik apabila bekas pelajar sekolah itu yang pernah menganggotai pancaragam brass dengan sukarela mahu memainkan lagu Negaraku, Allah selamatkan Sultan Kami dan Lagu Sekolah sebagai mengimbau kembali zaman persekolahan mereka.
Salah seorang bekas pelajar sekolah itu, Siti Zulaikha Mohd Zainuddin yang kebetulan sedang menjalani latihan mengajar di SMKI turut bermain saksofon alto semasa zaman persekolahan adalah salah seorang anggota pancaragam itu.
“Saya teruja apabila diberi tahu bekas anggota pancaragam sekolah ini akan ‘mengambil alih’ pancaragam brass pada persembahan penutupan bulan kemerdekaan.
“Terkenang masa zaman persekolahan bersama pancaragam brass, bermula dari sini kami mengenali alat muzik dan membaca notasi, di samping menjadi program ‘reunion’ bekas pelajar,” katanya.
Pemegang diploma muzik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Izza Ikhtiman yang sedang menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang yang sama turut terpanggil untuk turut serta apabila dimaklumkan.
“Kebetulan saya ada di rumah dan peluang itu memberi saya mengembalikan kenangan di sekolah ini bersama rakan lain, selain dapat bertemu guru yang pernah mengajar saya,” katanya.
Selain itu bekas pelajar yang sedang menuntut di peringkat pra-universiti (tingkatan 6) di sekolah berdekatan mendapat pelepasan daripada pengetua masing-masing untuk menyertai program itu.
Sementara itu, Pengetua SMKI, Romeli Omar terkejut apabila melihat ‘muka’ pelajar yang bermain alat muzik cukup asing baginya.
“Saya terkejut kenapa anggota pancaragam brass sangat asing bagi saya, rupanya bekas pelajar yang sayangkan sekolah ini sanggup datang untuk bermain alat muzik bagi menyerikan majlis hari ini.
“Malah, sangat terkejut salah seorang yang bermain alat muzik itu adalah guru yang sedang menjalani latihan mengajar dari UPSI adalah bekas pelajar SMKI,” katanya.-SAHIH.