Pemilik kolam berputih mata ikan mati lebih RM60,000
Pemilik kolam berputih mata ikan mati lebih RM60,000
LIPIS – Seorang pemilik kolam ikan berputih mata kerana terpaksa menanggung kerugian melebihi RM60, 000 ekoran kejadian ikan dalam kolamnya mati di Kampung Salak, Merapoh dekat sini semalam.
Pengusaha kolam ikan itu, Raja Noor Ezmie Alil Raja Noor Ezam, 24 berkata, kejadian itu disedarinya pada jam 7.30 pagi ketika dia mahu memulakan operasi.
Pengusaha itu yang mengusahakan kolam memancing menanggung kerugian apabila kira-kira lapan tan ikan air tawar di kolam mati.
“Saya menyedari ketika tiba di kolam semalam, saya terkejut apabila melihat banyak ikan sudah terapung di permukaan kolam.
“Keadaan itu berterusan ke hari ini, bangkai ikan bertambah banyak malahan bau busuk di kawasan sekitar kolam,” katanya.
Katanya, dia sedih kerana pelbagai jenis ikan komersial, iaitu ikan patin, ikan rohu, ikan jelawat dan ikan tilapia yang berat dalam anggaran lima kilogram ke atas tidak dapat diselamatkan.
“Kejadian ini merupakan kali pertama berlaku sejak kolam memancing tersebut beroperasi sejak dua tahun lalu.
“Kolam ini sering menjadi tumpuan kaki pancing yang datang dari sekitar Lipis dan Gua Musang, Kelantan,” katanya.
Katanya, laporan polis telah dibuat dan sampel air telah diambil oleh jabatan berkaitan untuk siasatan lanjut.-SAHIH.