Pemandu kereta terselamat dalam nahas dengan lori
Pemandu kereta terselamat dalam nahas dengan lori
LIPIS – Seorang pemandu wanita terselamat daripada nahas apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 17, Jalan Lipis – Benta pada jam 1.30 petang, hari ini.
Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, keadaan kereta mangsa remuk teruk dan mangsa cuma mengalami kecederaan di kaki kanan.
“Setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandu seorang wanita telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori seberat 5 tan tanpa muatan.
“Lori tersebut yang datang dari arah Kelantan menuju ke Kuala Lumpur telah bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Raub ke Kuala Lipis,”katanya.
Katanya, bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu kereta tanpa penumpang ini dalam keadaan tersepit di tempat duduk dan telah dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis.
Katanya, pemandu kereta tersebut telah dikejarkan ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut. Keadaan mangsa stabil dan cuma mengalami kecederaan di kaki kanan.
“Kemalangan itu berlaku di jalan selekoh dan bahu jalan berturap dan keadaan cuaca baik dan tidak hujan,” katanya.-SAHIH.