Jentera UMNO Jerantut siap siaga untuk hadapi PRU
Jentera UMNO Jerantut siap siaga untuk hadapi PRU
JERANTUT – Jentera dari setiap kepimpinan UMNO Jerantut sedang bersiap siaga dan bekerja keras bagi membuktikan kepada rakyat bahawa Barisan Nasional tetap menjadi pilihan nombor satu dalam menerajui kestabilan dan kesejahteraan dalam negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semoga kerja kuat dan niat murni kepimpinan UMNO Jerantut ini diberkati dan dibalas dengan kemenangan yang dihasratkan.
“Melihat raut wajah mereka yang hadir, saya dapat meneka isi hati mereka yang mahukan parti kita terus menerajui semua kerusi di Jerantut.
“Saya tahu jentera dari setiap kepimpinan UMNO Jerantut berhempas pulas dan bekerja keras bagi membuktikan bahawa Barisan Nasional tetap menjadi pilihan rakyat nombor satu,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perjumpaan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut dan Cawangan-Cawangan.
Terdahulu, seramai 100 orang peserta di Kawasan FELCRA Durian Hijau 1 (DUN Pulau Tawar) menerima suratan hak milik, melibatkan kawasan pertanian (kelapa sawit) dan setiap peserta akan menerima 2.4 hektar tanah dengan jumlah keseluruhan 364.239 hektar.
Manakala, seramai 85 orang turut menerima suratan hak milik di Kawasan FELCRA Durian Hijau (DUN Pulau Tawar) yang melibatkan kawasan pertanian (kelapa sawit), di mana setiap peserta akan menerima 1.6 hektar dengan jumlah keseluruhan 192.82 hektar.
Seramai 1,473 penerima STR diberi suratan hak milik yang berada di kawasan DUN Damak, DUN Tahan dan DUN Pulau Tawar.-SAHIH.