Tiga maut dalam kemalangan libat 3 kenderaan di Rompin
Foto atas : Perodua Axia yang terbabit dalam kemalangan itu di Jalan Keratong-Bahau malam tadi. -JBPM
Tiga maut dalam kemalangan libat 3 kenderaan di Rompin
ROMPIN – Tiga maut dalam kemalangan yang yang melibatkan sebuah treler dan dua kereta manakala empat lagi cedera di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, kira-kira pada jam 9.00 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata, kejadian itu meragut nyawa Abdul Raziz Mohdal, 40, Mohd Khairol Md Tahir, 36, dan Zairulzaimy Jambi, 18.
“Siasatan awal mendapati sebuah treler yang datang dari arah Kuantan menghala ke Segamat, apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta Proton Iswara dari arah Segamat dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler.
“Kemalangan itu menyebabkan treler hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Axia dan terus terjatuh ke dalam cerun di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azahari berkata, akibat kemalangan itu, kelindan treler, Abdul Raziz; pemandu Proton Iswara, Mohd Khairol; dan penumpang belakang Iswara, Zairulzaimy meninggal dunia di tempat kejadian.
“Empat mangsa lain iaitu pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia yang cedera dihanatar ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Zulfadli Zakaria berkata, seramai 15 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) MUadzam Shah dan BBP Chini, Pekan ke lokasi kemalangan untuk operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa.-SAHIH.