Pokok tumbang hempap rumah, sembilan sekeluarga terselamat
Pokok tumbang hempap rumah, sembilan sekeluarga terselamat
LIPIS – Sembilan sekeluarga terselamat dalam kejadian pokok tumbang dan menghempap sebahagian bumbung sebuah rumah di Kampung Lalang pada kira-kita jam 12.00 tengah hari, hari ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Lipis, Kapten (PA) Mohd Nor Azhar Bin Yusof berkata, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menerima panggilan berkaitan kejadian tersebut dan pihaknya telah membantu membersih dan mengalih sisa pokok yang tumbang itu.
“Dalam kejadian hujan lebat itu turut berlaku hakisan tanah di kawasan berhampiran rumah itu, kita bersyukur, tiada berlaku kemalangan jiwa dan keluarga itu tidak dipindahkan ke tempat lain dan mereka masih berada di rumah itu.
“Agensi lain yang terlibat, Pejabat Daerah dan Tanah Lipis, Penghulu Mukim, Ketua Kampung dan penduduk kampung yang turut membantu membersihkan kawasan itu,” katanya
Sementara itu, rumah mangsa yang dihempap pokok, Ahmad Nazaruddin Abdullah (63) berkata, dia amat bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat.
“Ketika itu, saya dan keluarga sedang berada di bahagian lain di rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi kuat dan tidak tahu di mana bunyi dentuman itu berlaku.
“Tidak menjangka hujan lebat yang berlaku hari ini mengakibatkan pokok tumbang menghempap rumah dan berlaku hakisan tanah,” katanya.-SAHIH.