SPAN dan PAIP kesan premis perkhidmatan cuci kereta curi air
Foto atas : Kakitangan SPAN dan PAIP mengenalpasti penyambungan bekalan air secara haram dilakukan oleh pengusaha perkhidmatan cuci kereta di Raub. -Foto FB SPAN.
SPAN dan PAIP kesan premis perkhidmatan cuci kereta curi air
RAUB- Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Timur telah mengenalpasti premis yang menjalankan perkhidmatan cuci kereta dengan menggunakan bekalan air secara haram.
SPAN bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) di Raub telah menjalankan operasi serbuan curi bekalan air itu di sini, hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati premis perkhidmatan tersebut tidak mempunyai meter yang sah yang berdaftar dengan PAIP.
Semakan lanjut juga mendapati penggunaan air di premis tersebut diperolehi hasil sambungan secara tidak sah pada paip utama milik PAIP.
Manakala ujian klorin yang dijalankan mengesahkan air berkenaan adalah air terawat yang dibekalkan oleh operator.
Pihak SPAN telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan tindakan pemotongan bekalan air pada sambungan tidak sah tersebut telah dilakukan.
Kes ini disiasat dibawah peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau di penjarakan selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai dipohon untuk memaklumkan kepada operator air anda sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan yang anda syaki berkaitan aktiviti mencuri bekalan air bersih termasuk membuat penyambungan bekalan air secara tidak sah.-SAHIH.