350 Penghuni Sang Riang Terima Rawatan Pergigian
350 Penghuni Sang Riang Terima Rawatan Pergigian
BERA – Seramai 350 penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang menerima rawatan dan pemeriksaan gigi percuma di rumah kebajikan itu, semalam.
Rawatan dan pemeriksaan dilakukan pegawai pergigian dari Klinik Kesihatan Daerah Bera.
Pengerusinya, Yap Yoke Moey berkata, kunjungan daripada pegawai pergigian ke rumah kebajikan itu adalah antara rutin dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang.
“Ia adalah antara usaha dan menunjukkan rasa prihatin kerajaan terhadap penghuni rumah kebajikan ini.
“Sudah pasti kunjungan ini memberi kemudahan kepada penghuni mendapatkan rawatan yang bersesuaian dengan usia mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Selain pemeriksaan dan rawatan, penghuni juga berpeluang menukar set gigi palsu mereka secara percuma.
Yoke Moey berkata, selain kerjasama rapat dengan JKN Pahang, pihaknya turut mempunyai hubungan baik dengan agensi kerajaan yang lain bagi memudahkan urusan penghuni rumah kebajikan itu.
“Pihak Jabatan Pendaftaran Negara juga sentiasa membantu kami dalam urusan menukar MyKad penghuni di sini,” katanya.
Dia turut memaklumkan pusat rawatan kanser di rumah kebajikan berkenaan sudah mula beroperasi sejak awal bulan lalu.
Katanya, kemudahan di pusat rawatan itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada penduduk sekitar pekan Triang dan daerah Bera.-SAHIH