AKTIVITI ERAT HUBUNGAN KELUARGA
Oleh Miss Ain
5 Aktiviti Untuk Mengeratkan Hubungan Keluarga
Keluarga adalah satu-satunya insan yang sering memberi semangat dan sentiasa ada di sisi kita. Mempunyai keluarga yang lengkap adalah nikmat yang tidak ternilai bagi setiap manusia. Jangan abaikan keluarga untuk kepentingan diri sendiri kerana mereka yang membesar dan memberi pengajaran kepada kita supaya menjadi orang yang berguna.
Sedar tidak sedar, zaman sekarang masa untuk bersama keluarga semakin kurang kerana perlu menjalankan tanggungjawab dan tugasan harian. Anda perlu ‘mencuri’ masa untuk bersama keluarga. Jaga hubungan bersama ibu bapa dan adik-beradik.
Solat Bersama
Solat berjemaah adalah aktiviti harian yang wajib dibuat setiap hari. Tidak salah jika solat sendirian tetapi solat berjemaah lebih baik dan mengeratkan hubungan keluarga. Bukan itu sahaja, selepas solat anda boleh isikan masa lapang dengan tazkirah, ceramah ringkas dan menceritakan kisah tauladan kepada anak-anak. Selain mengeratkan hubungan, anak-anak juga mendapat ilmu.
Membuat Keputusan
Apa-apa keputusan yang perlu dibuat mestilah fikirkan mengenai keluarga. Jangan sesekali membelakangkan keluarga terutama ibu bapa dalam menentukan kehidupan. Pastikan anda merujuk kepada mereka untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam hidup. Walaupun pengalaman mungkin berbeza tetapi keluarga lebih mengenali diri anda dan memahami masalah yang anda hadapi.
Masak Dan Makan
Kalau setiap kali waktu makan, makanlah bersama keluarga. Lebih meriah dan gembira. Bukan waktu makan sahaja. Masak juga perlu bersama supaya kerja lebih mudah dan tidak terlalu penat. Saling bantu-membantu menyediakan lauk-pauk, makan dan mengemas bersama. Ia bukan hanya belajar kerja berpasukan malah dapat mengenali antara satu sama lain.
Aktiviti Tahunan
Tidak semestinya melancong, aktiviti tahunan seperti barbeque, hari keluarga, majlis tahlil dan doa selamat, gotong-royong atau berkelah adalah aktiviti yang menyeronokkan apabila dilakukan bersama keluarga. Ia akan menjadi satu kenangan terindah setiap tahun.
Album
Apabila mengadakan aktiviti tahunan, mestilah ada banyak gambar untuk dijadikan kenangan. Sediakan satu album yang boleh menyimpan 1001 kenangan anda dan keluarga semasa melakukan aktiviti bersama. Anda boleh dijadikan sebuah album atau photobook untuk mengimbas kembali kenangan.