Penduduk ZIG aktif tabur bakti kepada komuniti
Foto atas : Ahli kumpulan ZIG membungkus barangan makanan sebelum diagihkan kepada penduduk..
Penduduk ZIG aktif tabur bakti kepada komuniti
KAJANG – Sekumpulan penduduk Apartmen Zapin, Inang, Ghazal dan Qasidah (ZIG), Taman Impian Ehsan 3, Balakong, Selangor, terus aktif menabur bakti kepada komuniti setempat khusus dalam kalangan keluarga miskin dan asnaf bagi meringankan bebanan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19, tidak melenyapkan hasrat mereka sebagai anggota Keluarga Malaysia untuk terus berjasa kepada penduduk yang memerlukan bantuan selepas mula dilaksanakan sejak lima tahun lalu itu.
Ahli Jawatankuasa Kumpulan ZIG, Saharani Abdullah berkata, berbekalkan kesepakatan serta prihatin kepada nasib sesetengah penduduk dalam kalangan keluarga miskin serta asnaf itu satu inisiatif terus dilakukan bagi mengumpulkan dana untuk membeli barangan makanan dan diagihkan kepada mereka terbabit.
Katanya, apabila negara sudah memasuki fasa pemulihan pandemik Covid-19 dia bersama-sama rakan daripada kumpulan itu dapat bergerak aktif mengenal pasti keluarga penduduk yang perlu dibantu supaya mereka berasa tidak tertekan membuat persediaan menyambut Aidilfitri.
Jelasnya, di samping itu mereka membeli sendiri pelbagai barangan keperluan hasil sumbangan dana orang ramai termasuk penduduk di komuniti berkenaan dan berjaya mengumpulkan barangan seperti beras, susu, tepung gandum, gula, minyak masak, teh, telur dan sebagainya.
“Lima puluh penduduk yang dikenal pasti dari dalam kalangan keluarga tidak berkemampuan, miskin dan asnaf telah terpilih untuk menerima sumbangan itu yang diadakan di Surau An-Nur taman berkenaan.
“Bagaimanapun kami sentiasa bersedia dan ambil peduli untuk menghulurkan sumbangan jika menerima maklumat atau laporan memaklumkan ada keluarga yang tercicir menerima bantuan ini berikutan masalah teknikal dan sebagainya,” katanya.- SAHIH.