Penunggang motosikal maut balik dari bercuti di Kota Bharu
Penunggang motosikal maut balik dari bercuti di Kota Bharu
LIPIS – Tidak siapa menjangka, selepas bersahur bersama keluarga pagi tadi di kampung, seorang penunggang motosikal pulang untuk menyambung kerja kilang di Shah Alam, maut dalam kemalangan jalan raya pagi tadi.
Kemalangan itu berlaku di KM37, Jalan Lipis-Merapoh, Centre Spine Road (CSR) pada jam 11.30 pagi, hari ini.
Mangsa, Ahmad Nazri Razani, berusia 25 tahun, beralamat di Kampung Ketapang, Jalan Hospital, Kota Bharu, menunggang motosikal berseorangan menghala ke Shah Alam selepas bercuti di kampungnya.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, mangsa bertolak dari kampungnya pada jam 7.30 pagi , apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.
“Punca kematian disebabkan cedera parah di bahagian kepala dan post-mortem akan dilakukan selepas mendapat keputusan saringan Covid-19.
“Ketika kejadian, keadaan jalan kering dan cuaca baik, sistem jalan dua lorong, satu hala dan terdapat konkrit tengah sebagai pembahagi jalan dan bahu jalan berturap, kedudukan motosikal berada di atas bahu jalan menghala ke Lipis,” katanya.-SAHIH.