KRT Hussein Onn agih gulai kawah
Foto atas : Anggota bomba BTHO turut diraikan KRT Suadamai dalam majlis berbuka puasa sebagai menghargai jasa pasukan itu.
KRT Hussein Onn agih gulai kawah
CHERAS – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) di sini menyantuni komuniti dengan mengagihkan 100 paket gulai kawah daging dalam Program Iftar Ramadan, baru-baru ini.
Setiausaha KRT berkenaan, Che Nordin Ismail, berkata dengan sumbangan infak yang terkumpul itu KRT menggunakannya untuk membeli bahan mentah membuat gulai kawah daging berkenaan dan menu lain untuk empat minggu berturut-turut.
Katanya, penyediaan gulai kawah daging berkenaan adalah daripada wang peruntukan yang sedia ada dan sumbangan orang ramai selepas dilancarkan kempen infak mulai Mac untuk program itu sebagai memberi peluang komuniti berkongsi rezeki.
“Walaupun juadah iftar itu tidak seberapa tetapi besar ertinya kepada KRT kerana dapat memupuk budaya kongsi rezeki dalam kalangan komuniti kerana selagi situasi pandemik Covid-19 belum reda masih ada antara kita dihimpit masalah perbelanjaan harian.
“Sekurang-kurangnya juadah iftar itu dapat menampung menu berbuka keluarga tertentu yang mungkin tidak mampu untuk berbelanja di pasar Ramadan apabila harga makanan dijual terlalu tinggi bagi mereka apabila hilang sumber pendapatan kerana pandemik Covid-19,” katanya.
Tambahnya, sebagai menghargai sumbangan bakti pihak berkuasa di BTHO, pihak KRT akan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama-sama anggota pasukan berkenaan yang didahulukan dengan anggota bomba dan Polis Komuniti BTHO.
“Dalam tempoh dua tahun lalu KRT tetap meneruskan program ini walaupun dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pandemik Covid-19 bagi meringankan bebanan keluarga dalam komuniti Suadamai,” katanya ketika ditemui pada majlis ringkas agihan juadah iftar Ramadan itu.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Keselamatan KRT berkenaan, Ali Idrus yang turut hadir pada majlis berkenaan, melahirkan rasa gembira dapat berkongsi rezeki dengan keluarga dalam kalangan komuniti Suadamai untuk menikmati juadah iftar Ramadan.
“Program ini juga secara tidak langsung menunjukkan KRT sentiasa prihatin terhadap permasalahan keluarga dalam komuniti Suadamai khasnya apabila dihimpit pelbagai kesulitan berikutan pandemik Covid-19 yang belum pulih sepenuhnya.
“Kami berharap program seperti ini sampai ke penghujung Ramadan dengan menyediakan pelbagai menu berbeza setiap minggu supaya ahli keluarga komuniti berasa gembira serta bersyukur menikmati juadah itu apabila berbuka,” katanya. –SAHIH.