Eain Yow, Aifa melangkah ke suku akhir Terbuka Manchester
Foto atas: AIFA Azman (kiri) menyingkirkan pemain England, Lucy Turmel pada pusingan kedua Terbuka Manchester hari ini. – IHSAN MANCHESTER OPEN
Eain Yow, Aifa melangkah ke suku akhir Terbuka Manchester
PETALING JAYA: Dua pemain skuasy negara, Ng Eain Yow dan Aifa Azman menempah slot suku akhir setelah membenam lawan masing-masing pada pusingan kedua kejohanan skuasy Terbuka Manchester di Pusat Skuasy Nasional, Manchester hari ini.
Pemain berusia 24 tahun yang menghuni ranking No. 20 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan pencabar dari Mesir yang memiliki fizikal jauh lebih besar berbanding dirinya.
Eain Yow yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Squashsite.com selepas perlawanan berakhir berkata, dia bermain baik, semalam untuk terus kekal fokus dalam persembahannya.
“Memang adakalanya saya teragak-agak untuk membuat keputusan ketika menyempurnakan hantaran, tetapi dapat berasakan saya melakukan pergerakan yang baik dan tidak terlibat dengan situasi yang berisiko.
“Saya berusaha memukul bola di ruang yang sempit dan memaksa lawan keluar dari tengah gelanggang, jadi selepas itu saya cuma mengekalkan aksi yang lebih teratur,” katanya yang mendapat bye pada pusingan pertama.
Dalam suku akhir esok, Eain Yow terpaksa mengharungi laluan yang lebih getir apabila perlu berdepan pilihan pertama, Mohamed ElShorbagy juga dari Mesir setelah pemain No. 3 dunia itu mengalahkan wakil Perancis, Victor Crouin 6-11, 11-3, 14-12, 11-6.
Sementara itu, seorang lagi wakil Malaysia yang beraksi dalam saingan wanita, Aifa menewaskan pencabar tuan rumah, Lucy Turmel pada pertemuan yang berlangsung sengit sebelum menang 6-11, 6-11, 11-6, 11-8, 11-8 dalam masa 50 minit.
Turmel yang menghuni ranking ke-20 dunia, diberi tentangan hebat oleh pemain No. 29 dunia, Aifa yang berjaya bangkit daripada ketinggalan dua set bagi mengheret lawan bermain dalam aksi penentuan.
“Saya bermula perlahan dalam perlawanan ini. Keadaan ini berlaku disebabkan saya yang sepatutnya menentang Georgia Adderley pada pusingan pertama, semalam (kelmarin), tetapi tidak turun beraksi kerana dia menarik diri.
“Bagaimanapun, secara keseluruhan saya gembira kerana berjaya bangkit dan sekali gus melengkapkan saingan dengan kemenangan,” katanya.
Pada suku akhir, pilihan kedua, Joelle King dari New Zealand menanti pemain muda negara itu, setelah lawan yang berada di ranking No. 5 dunia tersebut menundukkan pemain Mesir, Sana Ibrahim 11-4, 11-9, 2-11, 11-9.
Sumber – UTUSAN ONLINE