Harimau Selatan mengamuk baham Guangzhou
Foto atas: BERGSON Da Silva meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama JDT ketika menentang Guangzhou FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi. Foto – UTUSAN
ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi amaran kepada pencabar Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila membelasah Guangzhou FC dalam aksi pembukaan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.
Ayam tambatan Harimau Selatan, Bergson Da Silva muncul wira Harimau Selatan dengan meledak hatrik untuk meletakkan JDT sebagai pendahulu kumpulan.
Gol pembukaan itu menyuntik semangat pasukan tuan rumah untuk menambah jaringan hasil percubaan Fernando Forestieri pada minit ke-13, rembatannya berjaya dinafikan He Lipan pada awalnya namun kesilapannya menyebabkan bola tertampan ke gawang sendiri.
Pan Yong He yang menurunkan skuad kedua itu terus buntu untuk mengekang kemaraan juara Piala AFC 2015 yang terus mendominasi permainan dan mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.
Hasilnya, pasukan bimbingan Benjamin Mora terus menambah derita pasukan lawan apabila melebarkan kedudukan pada minit ke-27 hasil jaringan Bergson yang mendapat umpanan cantik Afiq Fazail meletakkan JDT 3-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, Guangzhou dilihat terus gagal memberi impak pada perlawanan itu sebaliknya terus diasak hebat wakil tunggal Malaysia dalam kejohanan itu yang buas memburu jaringan.
Pada minit ke-55, Bergson melengkapkan malam bergaya buat dirinya apabila mencipta hatrik apabila sekali lagi menewaskan Lipan menerusi tandukan hasil hantaran lintang Corbin Ong.
JDT menambah derita Guangzhou dengan menambah jaringan menerusi pemain gantian, Ramadhan Saifullah yang bijak melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melakukan sepakan lambung melepasi jangkauan Lipan pada minit ke-81.
Kemenangan tersebut meletakkan JDT di posisi teratas Kumpulan I dengan mengutip tiga mata pada aksi pembukaan.
Dalam perlawanan berasingan, pertemuan antara kelab Jepun, Kawasaki Frontale menentang pasukan Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, dekat sini berakhir dengan 1-1.
Sumber – UTUSAN ONLINE