Pemandu jengkaut maut dan seorang penumpang cedera parah
Pemandu jengkaut maut dan seorang penumpang cedera parah
JERANTUT – Seorang pemandu jengkaut meninggal dunia di tempat kejadian, seorang yang menumpang jentera itu cedera parah dan seorang lagi terselamat dalam kemalangan yang berlaku di KM4, Jalan Jerantut-Benta pada jam 12.30 tengah hari, hari ini.
Pemandu yang maut itu, Mohd Ikhsan Zahari, 37 tahun dari Kg Baru Serada, Kuala Terengganu, manakala seorang penumpang yang berada di sebelah kiri jentera berat itu, Ibrahim Hossen, 25, warganegara Bangladesh mengalami cedera parah di bahagian kepala.
Seorang lagi penumpang yang berada di sebelah kanan jentera itu, Hossain Shahin, 30 tahun, warganegara Bangladesh terselamat.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati jentera itu dipercayai gagal dikawal oleh pemandunya menyebabkan terbabas ke kiri jalan dan terbalik ke dalam longkang.
Katanya, kejadian berlaku ketika pemandu itu dalam perjalanan pulang bersama dua mangsa yang menumpang untuk balik dari kawasan pembinaan ke rumah kongsi mereka di Kampung Sungai Par, dekat sini.
“Akibat kejadian itu, pemandu meninggal dunia di tempat kejadian, dan mangsa yang menumpang berada sebelah kiri mengalami kecederaan parah di kepala dan mangsa ketiga tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk dibedah siasat selepas memperolehi keputusan saringan Covid-19, kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.-SAHIH.