Tiga jari putus akibat main mercun bola
BACHOK – Seorang remaja lelaki putus tiga jari tangan kanan akibat bermain mercun bola di Kampung Lembah Beris Kubur Besar, Tawang di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu, mangsa yang berusia 14 tahun dipercayai tidak sempat membaling mercun bola yang telah dipasang sumbunya sewaktu bermain di belakang rumah.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, akibat letupan mercun bola itu, tiga jari tangan kanan mangsa didapati hancur selain gegendang telinganya turut pecah.
Menurutnya, insiden itu turut menyebabkan bahagian leher mangsa luka selepas terkena percikan bahan bakar itu.
“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Beris Kubor Besar di sini sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
“Berdasarkan pemeriksaan, tiga jari kanan mangsa iaitu ibu jari, telunjuk dan tengah hancur akibat terkena mercun itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, mangsa sudah menjalani pembedahan membuang tiga jarinya di HUSM dan kini berada dalam pemerhatian hospital.
Menurutnya, polis masih belum menerima sebarang laporan berkenaan kejadian itu dan pihaknya mengetahui insiden berkenaan selepas melihat gambar mangsa yang tular di media sosial kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Sumber – KOSMO! ONLINE