JPKK Jorak Elahi sumbang 550 kotak kurma kepada penduduk
Foto atas: Hamidi Madtap mengangkut kotak kurma yang disumbangkan aktivis masyarakat dan ahli JPKK.
JPKK Jorak Elahi sumbang 550 kotak kurma kepada penduduk
BATU PAHAT – Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jorak Elahi, Batu Pahat dan dua aktivis masyarakat, berkongsi rezeki dengan mengagihkan 550 kotak kurma kepada penduduk pada awal Ramadan lalu.
Ketua Kampung Parit Jorak Elahi, Mohd Hamidi Madtap berkata, usaha murni itu wajar dijadikan contoh kepada mereka yang berkemampuan untuk menghulurkan sumbangan termasuk makanan kepada penduduk sempena Ramadan.
Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan dua aktivis tersebut, Khairul Fauzi dan Syed Mohsin yang turut dalam menghulur sumbangan peribadi untuk membeli kurma dan diagihkan kepada penduduk kampung untuk dinikmati ketika berbuka puasa.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang apabila harga barang melambung tinggi tidak semua penduduk terutama dalam kalangan keluarga miskin dan asnaf mampu mendapat segala keperluan untuk sepanjang Ramadan.
“Sumbangan kurma ini walaupun nampak kecil bagi sesetengah orang namun ia besar ertinya kepada penduduk terbabit dan saya berasa terharu dapat mengembirakan ahli keluarga mereka berkenaan terutama ketika berbuka puasa,” katanya.
Katanya, dia sentiasa mengalu-alukan jika ada pelbagai pihak untuk bersedia berkongsi rezeki dengan penduduk terbabit yang sekurang-kurang menyedarkan mereka tidak disisihkan begitu sahaja tanpa dibantu seperti dilakukan dalam aktiviti kebajikan kemasyarakatan sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya yang juga Ketua UMNO Cawangan Jorak Elahi, Batu Pahat.
Hamidi berkata, kurma berkenaan sudah diagihkan ke setiap rumah penduduk di sekitar Kampung Parit Jorak Elahi dan Kampung Tasek Merdeka oleh beberapa ahli JPKK dan ahli jawatankuasa UMNO cawangan terbabit bermula 1 April 2022 lalu termasuk kepada keluarga daripada dalam kalangan miskin dan asnaf itu.
Menurutnya, sebagai ketua kampung yang memikul tanggungjawab besar dalam membela nasib penduduk serta pembangunan sentiasa bersedia membantu mereka yang ditimpa masalah khusus bencana alam.
“Bagi kami semua penduduk adalah sama walaupun mempunyai perbezaan pendapat dari segi beberapa perkara namun dalam menyelesai masalah musibah ini pelbagai syak wasangka perlu diketepikan dahulu sebaliknya berganding bahu demi kebaikan serta sejahteraan hidup,” katanya. –SAHIH.