Rakyat Malaysia koma di Korea Selatan akan pulang
Rakyat Malaysia koma di Korea Selatan akan pulang
JERANTUT – Kamarulzaman Mohd Fauzi @Jazuli, 50, yang menerima rawatan selama 34 hari di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju kini sudah hampir pulih dan bakal dibawa pulang dengan segera ke tanah air dalam masa terdekat.
Dia yang koma dan mengalami strok di Korea Selatan telah memaklumkan berita gembira itu oleh isterinya Wan Hayati Wan Yaakub, 53, yang menetap di Kampung Batu Balai dekat sini.
Katanya, sepupu suaminya, Saloha Adlan, 27, yang turut berada kerana bekerja di sana memaklumkan suaminya kini sudah stabil dan pihak hospital membenarkan dibawa pulang dengan segera.
“Kami sekeluarga di sini amat gembira menerima khabar ini dan berdoa dengan harapan segala proses untuk membawa balik Kamarulzaman berjalan lancar.
“Seluruh ahli keluarga sudah tidak sabar menanti kepulangan Kamarulzaman kerana dia dirawat di hospital berkenaan selama 34 hari termasuk 23 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju,” katanya di sini.
Dia berkata, Saloha yang menjaga Kamarulzaman di Korea akan menguruskan segala keperluan dan urusan untuk membawa balik suaminya ke sini.
Kamaruzaman yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang tisu di negara itu koma selepas muntah dan pengsan disebabkan pembuluh darah pecah selain terdapat darah beku di bahagian kepala di rumah sewanya.
Sementara itu, Saloha ketika dihubungi mengesahkan dia sedang berusaha untuk melengkapkan proses membawa pulang sepupunya ke tanah air.
“Saya sudah memperolehi surat kedutaan walaupun memakan sedikit masa dan baharu sahaja mendapat tiket penerbangan Korean Air sekiranya tidak ada masalah lain, Kamarulzaman dijangka pulang pada 2 Mac ini.
“Bagaimanapun, saya perlu membayar untuk tujuh tempat duduk dalam pesawat Korean Air dalam usaha membawanya pulang ke tanahair,” katanya.
Katanya, sebelum ini, doktor bercadang melakukan pembedahan di tekak untuk melancarkan pernafasan, tetapi dibatalkan kerana apabila tiub pernafasan di mulut dibuka, dia terus boleh bernafas dengan sendiri tanpa bantuan alat bantuan.
“Dia perlu dibawa pulang segera bagi menggelakkan bayaran bil hospital yang tinggi yang dikenakan bagi rakyat asing di sini, sumbangan dari orang ramai sehingga ini telah digunakan untuk membayar bil hospital tersebut sebanyak RM55,000, namun masih tertunggak RM66,000,” katanya.-SAHIH.