Kucing ditusuk mata undang kemarahan netizen
Kucing ditusuk mata undang kemarahan netizen
PETALING JAYA – Perbuatan zalim melakukan penderaan terhadap seekor kucing sambil ditusuk sehingga ke bahagian mata membangkitkan kemarahan netizen di media sosial.
Menerusi perkongsian Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) di laman Facebook mereka, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah kawasan di Machang Bubok, Pulau Pinang dan kejadian itu dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial.
Berdasarkan sebuah hantaran seorang pengguna media sosial yang bernama Hanthan Kuart, menunjukkan seekor kucing ditusuk di bahagian mata dengan satu objek dan beliau turut menanyakan soalan tindakan yang boleh dilakukan untuk mengeluarkan objek dari kucing tersebut.
“Ada sesiapa yang tahu nak buang benda ini (objek), saya jumpa kucing di kawasan Machang Bubok, Pulau Pinang,” katanya.
Justeru, Animal Malaysia menggesa saksi kejadian supaya segera lapor kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang agar tindakan dapat diambil terhadap pelaku.
“Dakwaan kucing ditusuk di Machang Bubok Pulau Pinang merupakan jenayah yang amat serius dan pelakunya boleh diklasifikasikan sebagai penjenayah bahaya yang tiada sifat belas ihsan.
“Saksi utama melihat keberadaan kucing malang ditusuk mata ini dirayu tampil tanpa gentar untuk salurkan maklumat dengan lengkap.
“Selain itu mohon bawa kucing yang sedang menderita ini ke veterinar berhampiran untuk dapatkan bantuan rawatan perubatan segera untuk mengelakkan komplikasi lebih parah,” katanya di laman Facebook.
Sementara itu, rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki tersebut dan menganggap perbuatan itu lebih zalim daripada binatang dan menggesa pelaku segera ditangkap dan dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.
“Semoga tangan manusia yang menusuk mata kucing ini mendapat balasan yang sama dan lebih kejam. Kucing sayang, harap ada pihak yang dapat membantu dan menyelamatkanmu dari kesakitan,” tulis Nora Kilau.
“Harap orang yang jumpa kucing ini boleh bawa kucing ini dapatkan rawatan dengan segera dan mohon tindakan segera dari pihak berkuasa untuk melakukan tindakan terhadap pelaku,” ujar Ahmad Faiq.
“Semoga dipermudahkan urusan untuk mencari pelaku yang bertanggungjawab untuk diberi pengajaran. Kucing tersebut tidak bersalah untuk dizalimi,” jelas Aznan Yaakob.
SUMBER– K!ONLINE