Adakah suplemen membantu untuk mencegah kanser?
Adakah suplemen membantu untuk mencegah kanser?
Oleh: Dr Munazieraa Ab Aziz, MB BCh BAO (Ireland), MPH (UM), DrPH Candidate (UM) dan Prof Madya Dr Hazreen B Abdul Majid, RD, PhD, FMDA (Associate Professor of Nutrition and Dietetics, UM)
Hari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari dengan tujuan mengajak orang ramai untuk menyokong dan bersama-sama mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit kanser.
Kanser merupakan punca utama kematian di seluruh dunia. Di Malaysia sahaja, kanser telah membunuh seramai 29,530 orang pada tahun 2020. Trend in dijangka akan meningkat sebanyak dua kali ganda pada tahun 2040.
Oleh itu, ramai di antara kita mencari cara untuk mencegah kanser. Antara langkah yang diambil adalah dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, mendapatkan vaksinasi, mengambil suplemen dan banyak lagi.
Suplemen bertujuan untuk membantu menambah nutrisi di dalam badan di samping mengekalkan dan meningkatkan kualiti kesihatan.
Kebanyakan supplemen mengandungi vitamin, mineral, herba, enzim, asid amino atau kombinasi.
Suplemen datang dalam pelbagai bentuk seperti kapsul, tablet, cecair, serbuk atau gel. Hakikatnya, kurang daripada 10% daripada kandungan suplemen ini mampu diserap oleh badan.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menyatakan bahawa suplemen tidak boleh dijual bagi tujuan merawat, mendiagnosis, mencegah, atau menyembuhkan penyakit.
Promosi-promosi seperti “menghalang kanser”, “merendahkan kolesterol”, “merawat penyakit jantung” dan lain-lain juga tidak dibenarkan kerana ini boleh memberi tanggapan palsu kepada orang awam.
Oleh itu, penggunaan suplemen sebagai pencegahan kanser adalah tidak digalakan sama sekali.
“World Cancer Research Fund International’s Continuous Update Project” mendapati bahawa tiada bukti kukuh menunjukkan suplemen boleh mencegah kanser.
Kajian mereka mendapati hanya bukti minimum yang menyatakan suplemen vitamin D membantu dalam merawat kanser dan penyakit jantung.
Kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan suplemen omega-3 tidak dapat mengurangkan risiko kanser jika dibandingkan dengan pengambilan plasebo.
Pada masa yang sama, satu kajian yang melibatkan lebih daripada 29,000 orang melaporkan bahawa pengambilan suplemen beta-karotena dalam dos yang tinggi (20 mg atau lebih setiap hari) boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru terutama dikalangan perokok.
Oleh sebab demikian, Majlis Penyelidikan Kanser telah mengesyorkan bahawa pengambilan diet yang seimbang melalui makanan yang kaya dengan bijirin, buah-buahan, dan sayur-sayuran adalah lebih berkesan daripada pengambilan suplemen dalam usaha untuk mencegah kanser.
Dengan itu, adalah disarankan untuk memberi lebih tumpuan kepada kepelbagaian dalam sumber makanan dan bukannya bergantung dengan suplemen sahaja.
Berikut adalah beberapa petua untuk mengekalkan tabiat ini:-
- Kekalkan berat badan yang ideal.
- Jadikan bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan, dan kekacang sebagai sebahagian daripada diet harian.
- Hadkan pengambilan makanan berproses terutama yang ditambah dengan lemak, karbohidrat, atau gula berlebihan.
- Hadkan pengambilan daging merah dengan hanya mengambil dalam kuantiti yang sederhana dan bagi daging berproses pula, elakkan pengambilan atau jika perlu, ambil dalam kuantiti yang sedikit.
- Lebihkan minum air kosong dan elakkan pengambilan minuman yang tinggi dengan gula.
- Elakkan atau kurangkan pengambilan alkohol.
- Setiasa kekal aktif secara fizikal dalam kehidupan seharian.
- Bagi ibu-ibu, penyusuan susu ibu mampu mencegah kanser.
Mengekalkan berat badan yang ideal, mengamalkan pemakanan yang sihat serta aktif secara fizikal juga mampu membantu mencegah kanser. -SAHIH.