Pusat Haemodialisis Kedua Di Sang Riang Bakal Dibuka
Pusat Haemodialisis Kedua Di Sang Riang Bakal Dibuka
BERA – Pusat rawatan haemodialisis kedua bakal disediakan di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang yang terletak di Triang, dekat sini.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi rumah kebajikan berkenaan, Yap Yoke Moey selepas menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang semalam.
Yoke Moey berkata, ahli Parlimen Bera itu juga menyatakan rasa kagum dengan perkembangan rumah kebajikan berkenaan.
“Pihak pengurusan ada menyuarakan hasrat kami meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan membina pusat haemodialisis baharu di rumah kebajikan kami.
“Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan kerajaan akan mempertimbangkan permohonan itu,” katanya.
Yoke Moey berkata, lawatan Perdana Menteri ke rumah kebajikan berkenaan adalah rutin tahunan sejak dipilih sebagai ahli Parlimen Bera.
“Sejak tahun 2004, beliau sentiasa mengambil perhatian dengan perkembangan rumah kebajikan Sang Riang dan kami sangat bertuah kerana beliau sudi singgah melihat kami petang semalam,” katanya.-SAHIH