Lega tersingkir, GV8 bukan pentas saya’
‘Lega tersingkir, GV8 bukan pentas saya’
Penyanyi Fazley Yaakob akui kegagalannya untuk mara ke peringkat seterusnya dalam Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) malam tadi menimbulkan kelegaan yang teramat sangat.
Bagi Fazley, dia bukanlah seorang penyanyi yang sesuai untuk menyertai sesebuah pertandingan kerana pentas seperti GV8 dirasakan terlalu besar buatnya.
“Saya lega sangat apabila tersingkir. Bukan menidakkan peluang tetapi akur rezeki setakat ini.
“Saya hanya usahakan agar ada peningkatan di dalam persembahan saya setiap minggu, bukan bertanding untuk lebih baik daripada peserta-peserta lain.
“Gegar Vaganza bukan pentas saya dan terlalu besar untuk saya yang sememangnya bukan penyanyi pertandingan,” katanya di media sosial hari ini.
Namun begitu, kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Asmara Ini, dia masih akan memenuhi mana-mana undangan nyanyian sekiranya dirasakan sesuai.
“Saya tetap akan menyanyi dan memenuhi mana-mana undangan selepas ini,” katanya.
Pada minggu keempat yang bertemakan Berdiri Bulu Romaku, Fazley menyanyikan lagu dendangan asal penyanyi Hattan, Mahligai Syahdu dan memperolehi markah terendah iaitu 50 peratus.
Adibah Noor yang membawakan lagu Jika pula, muncul sebagai bintang dengan markah tertinggi iaitu 78.1 peratus disusuli artis kelahiran Sabah, Nikki Palikat dengan 76.6 peratus.
Mengulas lanjut, Fazley, 43, berkata penyanyi yang boleh membawa diri di atas pentas dengan baik adalah seseorang yang ternyata hebat dalam bidang diceburi.
Membandingkan kedua-dua, katanya, ada perbezaan besar antara penyanyi rakaman dan pertandingan.
“Saya hanya penyanyi rakaman yang boleh perbaiki nyanyian dalam studio berkualiti-kali tanpa perjurian hingga nyanyian sempurna sebelum dijadikan lagu di radio.
“Penyanyi pertandingan pula adalah begitu hebat, dan jadi kebiasaan menyanyi live tanpa kesilapan besar di hadapan juri dan ribuan penonton,” katanya.
SUMBER: Malaysiakini