KPIM keluarkan Pelan Tindakan atasi kenaikan harga sayur, ayam
KPIM keluarkan Pelan Tindakan atasi kenaikan harga sayur, ayam
Foto: Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sedang memberikan makanan rumput napier kepada lembu ‘sado’ atau hibrid ketika melawat di Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK) Kampung Bukit Dinding, Jerantut, Pahang, baru-baru ini.
JERANTUT – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (KPIM) sedang merangka pelan tindakan untuk mengatasi kenaikan harga barang utama, iaitu sayur-sayuran, ayam dan barang makanan lain dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dua, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pelan tindakan itu dirangka dengan kerjasama dua kementerian lain untuk membantu pengeluar dan petani yag terkesan teruk sehingga menyebabkan kenaikan harga keperluan berkenaan.
“Punca utama yang dikesan oleh kementerian ini, iaitu tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal 2020 dan tempoh yang lama menyebabkan sektor pertanian turut terkesan dari segi pengeluaran termasuk pemberhentian ramai pekerja.
“Selain itu, kenaikan harga sayur-sayuran dan barang keperluan lain berpunca daripada peningkatan harga racun dan baja di pasaran dunia,” katanya kepada pemberita di Bukit Dinding dekat sini, baru-baru ini.
Dr. Muhammad Zawawi dalam rangka lawatan kerja menyaksikan projek permainan beradas dan pengeluaran semen beku untuk ternakan lembu ‘sado’ atau hibrid di Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK) Kampung Bukit Dinding, Jerantut.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veteriner, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, Pengarah Bahagian Genetik Teknologi Penternakan, Dr. Saifullizam Abd. Kadir dan Ahli Dewan Undangan Negeri Damak, Zuridan Mohd. Daud.
Beliau berkata, isu kenaikan harga berkenaan merupakan sementara , manakala kementerian tersebut sangat peka masalah yang dihadapi pengguna dan rakyat lalu dengan mengadakan mekanisme pelan tindakan dengan melibatkan kerjasama dua kementerian lain.
“Kita telahpun berbincang melibatkan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) semalam dan masalah berkenaan akan diatasi dalam masa terdekat,” katanya.-SAHIH.