DAKWAAN BERKEMPEN DI HARI PENGUNDIAN: LAPORAN POLIS DIBUAT TERHADAP ZURAIDA, CALON PN
Foto: Zuraida Kamaruddin dan calon PN di Machap Jaya, Tai Siong Jiul, dilihat berbual dengan pengunjung kedai makan di kawasan itu, pagi tadi.
AYER KEROH: Satu laporan polis telah dibuat terhadap Zuraida Kamaruddin, dan calon Perikatan Nasional (PN) di Machap Jaya, Tai Siong Jiul kerana didakwa berkempen pada hari pengundian.
Turut dalam perhatian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin kerana mengongsikan hantaran di Instagram menggesa pengundi memilih Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.
Dalam sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, calon Pakatan Harapan Law Bing Haw mendakwa Zuraida dan Tai masih berkempen untuk PN di Machap Baru, pagi tadi.
Menurutnya, beliau telah menerima aduan penduduk yang sedang bersarapan pagi.
“Ada video menunjukkan Zuraida dan Tai di dalam satu kedai makan, menyapa orang ramai dan bertanya sama ada mereka telah pergi mengundi.
“Mereka nyata melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya yang jelas menyatakan aktiviti berkempen dilarang pada hari pengundian,” katanya selepas membuat laporan polis itu.
Turut bersamanya, penyandang PKR di Machap Jaya Ginie Lim, yang telah digugurkan sebagai calon untuk pilihan raya negeri itu.
FMT sedang berusaha mendapatkan maklum balas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu.
Sementara itu, poster dikongsikan Khairy di Instagram pagi tadi turut tular, dengan ramai mendakwa mesejnya “Pilih BN!” serta tanda pagar #kestabilandemikemakmuran dianggap melanggar undang-undang pilihan raya.
Ketika dihubungi, SPR berkata sebarang bahan kempen berhubung pilihan raya adalah pelanggaran akta berkenaan jika dikongsikan selepas 12 tengah malam tadi.
Bagaimanapun, Naib Pengerusi SPR Azmi Shahrom berkata, perkara itu samar jika melibatkan bahan yang telah dikongsikan sebelum hari pemilihan, namun masih berada di domain masing-masing.
“Memang umum mengetahui berkempen tidak dibenarkan pada hari pemilihan. Jadi tarikh hantaran dikongsikan menjadi kata putus untuk melihat sama ada berlaku pelanggaran akta,” katanya ketika dihubungi.
Mengikut Seksyen 26 akta berkenaan, parti dan calon dilarang mengeluarkan kenyataan kempen pada hari pengundian.
Pengundi di Melaka memilih kerajaan negeri baharu hari ini, selepas pilihan raya diumumkan bulan lal
SUMBER: FMT