PENDUDUK KG PAGI BERANG KENDERAAN BERAT DIPANDU KEADAAN BAHAYA
JERANTUT : Penduduk Kampung Pagi, Hulu Tembeling dekat sini memohon pemandu kenderaan berat yang melalui jalan raya sempit kawasan itu jangan memandu dalam keadaan bahaya dan boleh mengundang kecelakaan khususnya pengguna dalam kalangan ibu bapa dan murid sekolah.
Keadaan ini berlaku pada sebelah pagi apabila sebuah lori berkenaan yang dipercayai memotong sebuah lori muatan berat betul-betul berdekatan dengan pintu pagar sekolah rendah tersebut, baru-baru ini.
Menurut seorang penduduk, suasana itu kerap berlaku sebelum jam 7.30 pagi, ketika penduduk sibuk keluar bekerja menoreh getah dan menangkap ikan liar Sungai Tembeling serta beberapa orang penjaga menghantar anak ke sekolah.
Menerusi video yang dimuatkan dalam laman sosial Facebook berdurasi 13 saat seorang penduduk Kampung Pagi, Ahmad Hafizee Mohamad yang kebetulan menghantar anak ke sekolah menunjukkan lori balak berkenaan dipandu laju dan memotong di laluan yang sempit berdekatan pintu pagar sekolah.
Ahmad Hafizee menerusi hantaran itu berkata, sikap cuai serta mementingkan diri pemandu lori berkenaan boleh mengakibatkan kecelakaan kepada penduduk dan pengguna di jalan tersebut.
Seterusnya seorang lagi penduduk menerusi laman sosial yang sama, Amirul Naim Mohamad dengan nada kesal dan berang menyebut ‘sampai bila isu lori balak laju dalam kawasan kampung ni hendak selesai.
“Penduduk Lembah Tembeling sentiasa dalam bahaya. Lori kosong bawa laju, memotong sesuka hati, ‘makan jalan’ dekat selekoh,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Seterusnya Amirul Naim berharap, pihak berwajib perlu kerap memantau serta membuat operasi supaya situasi berkenaan tidak berulang sekali gus jaminan keselamatan penduduk keluar bekerja termasuk kanak-kanak sekolah.
Seorang penggiat ekopelancongan, Camry Al Yahya Basri berkata, pergerakan lori balak keluar masuk ke kawasan Hulu Tembeling melalui jalan raya Kampung Tuit memasuki Kampung Pagi sehingga ke Kampung Kuala Sat sudah lama berlaku.
“Bukan sahaja membahayakan penduduk kawasan ini, tetapi banyak berlaku kerosakan jalan raya antara Kampung Pagi hingga ke Kuala Sat yang mengundang kesukaran penduduk untuk keluar masuk ke bandar Jerantut sejauh 120 kilometer dan ketidakselesaan pengunjung melawat pusat peranginan hutan tropika dan kampung tradisional Melayu Hulu Tembeling,” katanya.-SAHIH.