KECOH BAS BAWA PESAKIT COVID-19 DARI CAMERON HINGLANDS
KECOH BAS BAWA PESAKIT COVID-19 DARI CAMERON HINGLANDS
KUANTAN: Orang ramai jangan bimbang berkaitan isu yang tular di media sosial tentang sebuah bas yang membawa pesakit COVID-19 dari Cameron Highlands ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) yang menakutkan berlaku baru-baru ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang ingin menjelaskan situasi yang berlaku adalah terkawal dan hanya melibatkan prosedur biasa pemindahan pesakit positif ke PKRC.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, peristiwa itu berlaku pada 9 November lalu di mana hanya sembilan pesakit positif COVID-19 dibawa menggunakan bas pada tarikh tersebut merangkumi dua kes ke PKRC Maran, dua kes ke PKRC UMP dan lima kes ke PKRC ILKKM.
“Kesemua sembilan pesakit itu perlu dimasukkan ke PKRC kerana situasi rumah yang kurang sesuai untuk menjalani kuarantin kendiri serta pesakit ini terdiri daripada golongan kanak-kanak dan pesakit co-morbid.
“Untuk makluman, setakat ini Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cameron Highlands tidak menerima sebarang notifikasi kes positif COVID-19 dalam kalangan pelancong untuk tujuan pengesanan kontak,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, notifikasi itu bertujuan untuk tindakan pengesanan kontak yang diterima setakat ini adalah melibatkan kontak keluarga dan bukannya pelancong.
“Sehingga 16 November 2021, kes aktif di daerah Cameron Highlands adalah sebanyak 77 kes melibatkan 17 kes import dan selebihnya adalah kes tempatan.
“Status COVID-19 di daerah Cameron Highlands adalah terkawal dengan dua mukim berstatus jingga iaitu di Tanah Rata dan Ulu Telom dan satu mukim berstatus kuning di Ringlet,” katanya.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang meminta masyarakat sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan walaupun telah lengkap dos vaksinasi serta dibolehkan untuk bersosial seperti melancong dan merentas negeri.
“Kita belum menang lagi namun dengan usaha-usaha dan komitmen yang tinggi, kita akan menang dan dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Bersama hidup sihat meskipun dalam COVID-19,” katanya.-SAHIH.