RM 30 JUTA UNTUK BAIKI SEGERA JALAN KE HULU TEMBELING YANG MENDAP DAN RUNTUH-KSU KPLB
RM 30 JUTA UNTUK BAIKI SEGERA JALAN KE ULU TEMBELING YANG MENDAP DAN RUNTUH-KSU KPLB
JERANTUT: Jalan utama Hulu Tembeling yang bermula dari Kampung Tuit, Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling yang rosak teruk bakal dibaiki dengan segera pada awal Disember ini dengan menelan belanja sebanyak RM30 juta.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) prihatin dengan keselamatan pengguna jalan raya yang kerap melalui jalan itu terutama penduduk di kawasan Hulu Tembeling kerana berlaku jalan yang mendap, tebing jalan runtuh yang lebar dan beberapa runtuhan tanah di kaki bukit.
Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, dalam tinjauannya beliau mendapati banyak berlaku kerosakkan serius di sepanjang jalan itu yang perlu tindakan segera.
Katanya jalan itu agak berbahaya kepada pengguna jalan raya kerana terdapat empat lokasi jalan yang mendap dan tebing jalan runtuh yang lebar serta bercuram kira-kira 50 meter selain terdapat beberapa runtuhan kecil di beberapa lokasi lain.
“KPLB akan mengambil langkah segera di mana kerja-kerja pembaikan sementara akan dilakukan minggu depan manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau kerja-kerja pembaikkan secara kekal pada hujung bulan November ini.
“Dalam masa yang sama kita akan melakukan kerja penyelenggaraan di sepanjang jalan ini termasuk memastikan longkang berada dalam keadaan baik bagi memastikan aliran air lancar, “ katanya.
Katanya, kerja pembaikan ini perlu disegerakan kerana musim tengkujuh akan tiba, semua longkang perlu diselenggara dengan baik, kerana antara faktor berlaku runtuh tebing disebabkan berlaku pergerakan bawah tanah jalan kerana aliran air yang tidak sempurna melemahkan struktur tanah.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan dan lawatan kerja jalan itu terutama di lokasi jalan yang mendap dan runtuh di sepanjang jalan itu sejauh 60 kilometer.
Sebelum ini media melaporkan keresahan kira-kira 2,000 penduduk di beberapa kampung di Hulu Tembeling yang bimbang berlaku terputus hubungan disebabkan berlaku mendapan jalan dan runtuh selain yang boleh merbahayakan kepada pengguna jalan raya terutama di waktu malam.
Antara lokasi jalan yang mendap dan runtuh iaitu jalan di Kampung Tuit ke Kampung Pagi dan jalan berdekatan Bukit Awan; laluan Kampung Pagi ke Kuala Sat dan runtuhan tebing bukit di simpang Kuala Sat ke Kampung Bantal, berhampiran dengan jambatan Sungai Komel.
Ramlan berkata, walaupun jalan itu sudah beberapa tahun siap tetapi ia masih di bawah selenggaraan PKLB dan pihaknya akan membaiki jalan ini secara kekal dari masa ke semasa.
Katanya pada dasarnya kerajaan sudah bersetuju untuk membaiki keseluruhan jalan ini secara kekal dan kos sebenar masih dalam kajian sebelum jalan ini diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Saya memohon pihak JKR meletakkan papan tanda amaran di lokasi yang rosak dan bahaya bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam.
“Semua pengguna jalan itu sentiasa berhati-hati dan elakkan melalui laluan ini ketika hujan lebat kerana dibimbangi berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.-SAHIH.