Hilang di Sungai Batang Paloh dikhuatiri lemas
Hilang di Sungai Batang Paloh dikhuatiri lemas
TANJUNG MANIS: Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang dibawa arus deras Sungai Batang Paloh setelah secara tiba-tiba terjun ke sungai tersebut pada malam Khamis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataan media memberitahu, mangsa yang telah dilaporkan hilang bernama Alex Rudy Roy Ali, 17.
Berdasarkan laporan awal, ketika kejadian, jam 10 malam, mangsa bersama dengan dua orang rakannya sedang duduk di jeti di tepi sungai berhampiran dengan rumah panjang, Rumah Wun, Bekarkong, Tanjung Manis.
Secara tiba-tiba tanpa berkata apa-apa mangsa telah membuka baju dan terus terjun ke dalam sungai.
Melihat mangsa tidak kelihatan, dua orang rakan turut terjun ke dalam sungai tersebut dengan tujuan untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal menemui mangsa.
Berikutan itu, dua orang rakan mangsa terus memaklumkan kejadian tersebut kepada penduduk rumah panjang.
Dalam masa sama, penduduk rumah panjang terus melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di sekitar kawasan sungai tersebut, namun gagal menemui mangsa.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis turut dimaklumkan tentang insiden tersebut dan terus bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 37 kilometer dari balai, lapor utusan online
Ketika sampai dilokasi kejadian, bomba terus mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tersebut dan memutuskan untuk melancarkan operasi SAR pada awal pagi ini (Jumaat).