Juruteknik maut, cucu cedera Mazda CX5 bertembung lori
Juruteknik maut, cucu cedera Mazda CX5 bertembung lori
MARANG – Seorang juruteknik maut manakala cucu lelakinya berusia 20 bulan cedera parah selepas kereta Mazda CX5 dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 58, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Rhu Kubur di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, Azman Awang, 56, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Deris berkata, cucu mangsa, Aisy Mateen Mohd. Amin pula cedera parah di bahagian kepala.
Beliau berkata, sewaktu kejadian, Azman yang bekerja di Sekolah Menengah Imtiaz Dungun dikatakan dalam perjalanan menuju ke sebuah kedai di Jambu Bongkok di sini dari rumah mereka di Rantau Abang, Dungun untuk membeli barang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Mazda CX5 dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Kereta dipandu mangsa kemudiannya bertembung dengan lori yang dikatakan sedang dalam perjalanan ke depoh penyimpanan di Batu 7, Dungun,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Zain berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta tersebut.
Beliau berkata, mayat Azman telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat, lapor kosmo online
“Cucu mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.