PEMANCING BUANG SAMPAH SUKA HATI DI JAMBATAN GEMUNCUR-MELA
PEMANCING BUANG SAMPAH SUKA HATI DI JAMBATAN GEMUNCUR-MELA
LIPIS : Kesedaran sivik yang rendah menyebabkan sikap tidak acuh dengan membuang sampah merata-rata sesuka hati wajar dibendung bagi memperlihatkan satu masyarakat yang bertamadun tinggi menjaga kebersihan.
Seorang penduduk kecewa dengan sikap penduduk membuang sampah-sarap di tepi laluan atas Jambatan Gemuncur-Mela yang merentangi Sungai Jelai berdekatan kampung tersebut.
Penduduk di situ, Mohd. Safri berkata, sampah-sarap itu dibuang oleh kalangan pemancing luar dan juga individu dalam kumpulan kecil yang sering melepak menghabiskan waktu santai petang bersama rakan di atas jambatan tersebut.
“Sambil memancing dan melepak di atas jambatan ini, mereka menjamah makanan, merokok, saki baki umpan lalu dibuang di tepi laluan ini selepas siap makan dan memancing.
“Mereka yang tidak bertanggungjawab ini langsung tidak menghiraukan amalan kebersihan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab semua orang, kita disuruh mengutamakan kebersihan dan kesihatan,” katanya di Kampung Mela dekat sini hari ini.
Katanya, mereka perlu membawa plastik sampah sendiri dan buang semua sisa makanan dan umpan dimasukkan dalam bekas sampah itu dan dibawa pulang atau buang ke dalam tong sampah yang berdekatan, amalan ini perlu diterapkan.
“Walaupun jambatan ini bukan laluan utama pelancongan, tetapi kebersihan perlu dijaga dan imej yang dipaparkan itu juga menunjukkan sikap penduduk di sini,” katanya.-SAHIH.