PENGUSAHA BERGERAK DAN PENYEWA KEDAI DESA RAKYAT KERDAU TERIMA GERAN DAN KUNCI
PENGUSAHA BERGERAK DAN PENYEWA KEDAI DESA RAKYAT KERDAU TERIMA GERAN DAN KUNCI
Foto Atas: Datuk Seri Wan Rosdy (dua dari kiri) bersama Syed Ibrahim Syed Ahmad (kiri) bersama sebahagian pengusaha bergerak (mobilepreneur) di Kuala Kerdau, Temerloh, Pahang semalam.
TEMERLOH – Enam orang peniaga Kedai Desa Rakyat (KDR) dan seramai 15 peniaga bergerak menerima geran motosikal dan kunci premis daripada kerajaan negeri di Kuala Kerdau, dekat sini petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan motosikal itu untuk kemudahan bagi pengusaha kecil di situ berniaga atau memasarkan barang secara ‘mobile’ ke serata tempat di kawasan Kuala Kerdau dan kampung berdekatan.
“Dengan pemilikan kenderaan ini, pengusaha berkenaan mampu menjana pendapatan untuk keluarga serta kemudahan ini sekali gus menggalakkan kaedah berniaga secara ‘hantar dan bayar’ supaya lebih selesa dan cepat lebih lagi ketika ini masih dalam tempoh fasa pemulihan wabak Covid-19.
“Kerajaan negeri juga memberikan inisiatif perniagaan dalam kalangan penduduk di sini apabila siap membina KDR menerusi peruntukan Kementerian Kewangan bernilai RM1.6 juta dengan menawarkan peluang berniaga kepada enam orang pengusaha berkenaan,” katanya di Kuala Kerdau, dekat sini petang semalam.
Sempena majlis tersebut, Wan Rosdy turut merasmikan KDR Kuala Kerdau yang baharu memperoleh kelulusan sijil siap projek dan pematuhan pada 3 Mei lepas di samping beramah mesra dengan seramai 15 orang pengusaha ‘mobilepreneur’.
Menurut Syed Ibrahim, kesemua penyewa KDR menerima kunci premis berkenaan dan pada masa yang sama mereka juga menerima berita gembira apabila Menteri Besar Pahang turut mengumumkan penurunan kadar sewa bulanan antara RM200 hingga RM300 berbanding sebelum ini RM700.
“Penurunan kadar sewa ini berikutan permohonan penyewa berkenaan selepas mengalami tekanan kekurangan pendapatan ketika tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malahan sehingga ini baharu sahaja pulih dalam perniagaan masing-masing,” katanya.-SAHIH.