Wanita maut ketika bantu mangsa kemalangan
Wanita maut ketika bantu mangsa kemalangan
BAYAN LEPAS: Seorang wanita yang dikatakan cuba membantu mangsa kemalangan di Jalan Tun Dr Awang, di sini, maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kenderaan tengah malam tadi.
Difahamkan, Suhaila Zainol Abidin, 45, sebelum itu cuba membantu mangsa kemalangan bersama seorang lagi wanita yang identitinya belum dikenal pasti. Kedua-dua wanita berkenaan pejalan kaki.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Helmirizal Che Morad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.26 malam.
Tiba di lokasi, katanya, bomba mendapati satu kemalangan membabitkan kereta PROTON Wira dipandu lelaki berusia 25 tahun dan sebuah motosikal Honda Waze serta dua pejalan kaki,lapor BH online
“Pemandu yang tidak tersepit itu dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Helmirizal berkata, seorang pejalan kaki dan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital yang sama.
“Penunggang motosikal yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Faizal Abu Bakar, 33, manakala pejalan kaki, Suhaila Zainol Abidin, 45. Seorang lagi wanita pejalan kaki belum dikenal pasti identitinya,” katanya lagi.