BUNG MOKTAR GUNA PERKATAAN BODOH DI DEWAN RAKYAT MOHON MAAF
BUNG MOKTAR GUNA PERKATAAN BODOH DI DEWAN RAKYAT MOHON MAAF
KUALA LUMPUR: Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) membuat permohonan maaf secara terbuka di Dewan Rakyat susulan tindakannya menyebut perkataan “bodoh” ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong minggu lalu yang dipercayai ditujukan kepada wakil pembangkang.
Semasa perbahasan di Dewan Rakyat pada 22 September lalu, Bung mendakwa ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bajet pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah dipotong menyebabkan beberapa wakil pembangkang berang dan menyerangnya.
Bung kemudian membalas celahan wakil rakyat yang menyerangnya itu sebagai “bodoh”, lapor FMT.
“Untuk menghormati Dewan Rakyat ini saya tarik balik, akur dan mohon maaf kepada dewan yang mulia ini,” kata Bung.
Beliau kemudian berkata, ketika berucap beliau tidak menyedari wakil rakyat mana yang bangkit mencelah ucapannya menyebabkan beliau membalas celahan itu dengan perkataan “bodoh”.
“Saya pun tidak tahu semasa sedang berucap, tiba-tiba ada seorang wakil rakyat ‘tangkap’ pembesar suara tanpa berdiri, siapa makan lada dia rasa pedas,” katanya.
Bung membuat permohonan maaf itu selepas diminta oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.
Azhar membuat arahan itu selepas menerima usul daripada Noorita Sual (PH-Tenom) supaya Bung membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat.