GARA-GARA LANGGAR LAMPU ISYARAT, WARGA EMAS 60 TAHUN MAUT
SUNGAI SIPUT: Gara-gara melanggar lampu isyarat merah, seorang warga emas maut selepas digilis sebuah lori membawa muatan tanah di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 28.5, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di sini, hari ini.
Nahas berlaku mengakibatkan mangsa yang berusia lingkungan 60-an dan menunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan kira-kira jam 8.15 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kemalangan tersebut membabitkan motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggang mangsa dari arah Lintang manakala lori terbabit datang dari arah Kuala Kangsar.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada tindakan mangsa yang melanggar lampu isyarat merah.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian lampu isyarat berkenaan, motosikal ditunggang mangsa terus melepasi lampu isyarat merah, sehingga mengakibatkan lori dipandu lelaki berusia 30-an gagal mengelak lalu melanggar dan menggilis warga emas berkenaan.
“Akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Mohd Khaizam berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.
Menurutnya, pemandu lori itu ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – lapor Getaran.