TANAH RUNTUH BERLAKU TIDAK MEMBABITKAN DAERAH CAMERON HIGHLANDS
TANAH RUNTUH BERLAKU TIDAK MEMBABITKAN DAERAH CAMERON HIGHLANDS
KUANTAN: Menteri Besar Pahang kesal dengan penularan mengaitkan kejadian tanah runtuh melalui media sosial sehingga menyebabkan penutupan jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang dikatakan berada di daerah Camron Highlands.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya, kejadian tanah runtuh itu berlaku di KM 43.95 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley yang berada di dalam daerah Kinta, Perak akibat kejadian kegagalan cerun yang berlaku menyebabkan laluan itu ditutup sepenuhnya sejak semalam.
“Saya juga kesal dengan paparan video di media sosial mengaitkan banjir lumpur yang kononnya turut berlaku di Cameron Highlands sedangkan ia berlaku di tempat lain, ini sedikit sebanyak menjejaskan imej kawasan peranginan ini terutama kehadiran pelancong.
“Di harapkan dengan penjelasan ini, rakyat tidak terkeliru dengan apa yang sebenarnya berlaku khususnya yang melibatkan kawasan popular seperti tanah tinggi Cameron Highlands,”katanya melalui kenyataan media, semalam.
Sementara itu, seramai 790,024 pelancong direkodkan berkunjung ke Cameron Highlands pada tahun lalu sekaligus mengekalkan kedudukannya di tangga ketiga dari segi jumlah kedatangan pelancong di negeri ini.
“Walaupun sektor pelancongan dunia terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 , Cameron Highlands terus dikunjungi oleh pelancong, manakala Genting Highland mencatatkan kedatangan 3.38 juta orang, dan Kuantan seramai 1.62 juta,”katanya.-SAHIH