Lemas ketika cuba selamatkan rakan
Lemas ketika cuba selamatkan rakan
Hulu Selangor: Lelaki dipercayai lemas ketika menyelamatkan rakannya yang terjatuh ke dalam empangan di Jambatan Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.54 petang.
“Tujuh anggota bersama sebuah jentera dan bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.
“Mangsa dikenali sebagai Hamzah Ilya Azman, berusia 19 tahun. Dia lemas ketika menyelamatkan rakannya, Ahmad Nabil Yasin Abdul Rashih, berumur 20 tahun,” katanya pada kenyataan.
Menurut beliau, Ahmad Nabil Yasin berjaya menyelamatkan diri sebelum pihaknya tiba di lokasi, lapor kosmo online.
“Manakala mangsa pula gagal dikesan selepas terjun ke empangan itu,” katanya.
Norazam berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan.
Dalam pada itu, Norazam menasihati orang ramai yang berkhemah atau bercuti di kawasan berair seperti sungai, air terjun, laut atau empangan supaya mengambil langkah berhati-hati.
“Jika hujan, segera beredar untuk mengelak banjir kilat, fenomena kepala air atau kenaikan paras air secara mendadak.
“Begitu juga yang melakukan aktiviti mendaki, mohon berhati-hati terutama musim hujan ketika ini bagi mengelak tersesat, terperangkap di laluan keluar atau terkena panahan petir di hutan,” katanya.