Suntikan dos pertama vaksin COVID-19 untuk pelajar tingkatan 4 dan 5 minggu depan
Suntikan dos pertama vaksin COVID-19 untuk pelajar tingkatan 4 dan 5 minggu depan
KUANTAN: Pelajar sekolah berusia 16 dan 17 tahun akan menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 bermula minggu depan.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr Azimi Yunus berkata, setakat Rabu lalu, pihaknya sudah melaksanakan program vaksinasi keadaan golongan remaja yang mempunyai sejarah penyakit.
Katanya, suntikan vaksin berkenaan dilakukan di lima hospital di negeri ini.
“Lima hospital itu ialah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh; Hospital Lipis; Hospital Pekan dan Hospital Bentong.
“Bermula minggu depan, program vaksinasi akan diperluaskan kepada semua pelajar berumur 16 dan 17 tahun pula.
“Kini pihak kita sedang membuat penyelarasan bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Dr Azimi berkata, setakat ini sebanyak 81.7 peratus atau kira-kira 960,126 penduduk dewasa di Pahang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 691,258 atau 58.8 peratus sudah lengkap menerima dua dos vaksin.
“Kalau ikutkan, setakat ini hanya kira-kira 26,048 yang sudah berdaftar, sedang menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin.
“Bagaimanapun, masih ada seramai 189,626 atau 16.1 peratus penduduk dewasa belum berdaftar melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.
Mengulas mengenai bekalan vaksin di Pahang, beliau mengesahkan bahawa bekalan vaksin berada di tahap sangat baik dan pihaknya menyasarkan pada akhir September nanti, 100 peratus populasi dewasa di negeri ini selesai menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Hampir semua ceruk kampung telah dijejaki, namun kehadiran untuk suntikan dos pertama masih tidak mencapai sasaran.
“Peluang dan ruang untuk mendapat suntikan terbuka luas. Sambutlah peluang ini bagi warga Pahang yang masih belum mendapat suntikan supaya sasaran 100 peratus dos pertama bagi penduduk dewasa pada akhir September ini tercapai,” katanya.-SAHIH