Pemandu cedera kereta masuk longkang langgar lembu
Pemandu cedera kereta masuk longkang langgar lembu
PEKAN: Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya melanggar seekor lembu sebelum terbabas ke dalam longkang di Jalan Pekan-Batu Balik berhampiran Kampung Tanjung Medan, dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, mangsa berusia 27 tahun yang tersepit dalam kenderaan itu berjaya dikeluarkan pihaknya sebelum dihantar ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian jam 4.35 pagi sebelum enam anggota dari BBP Peramu dikejarkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.
“Anggota yang tiba di lokasi jam 4.45 pagi mendapati mangsa gagal keluar dan masih berada di tempat duduk pemandu.
“Operasi menyelamat segera dilakukan bagi membantu mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Wan Samsul berkata, operasi itu ditamatkan sepenuhnya jam 5.18 pagi.-SAHIH