15,662 PENDUDUK BERUSIA 18 TAHUN KE ATAS BELUM DIVAKSIN DI JERANTUT
15,662 PENDUDUK BERUSIA 18 TAHUN KE ATAS BELUM DIVAKSIN DI JERANTUT
JERANTUT: Terdapat 15,662 atau 21.05 peratus penduduk di daerah ini yang berusia 18 tahun ke atas masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama, setakat 12 September 2021.
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut mengambil inisiatif untuk menyegerakan pemberian vaksin secara walk-in mulai 13 hingga 15 September ini untuk meningkatkan imuniti kelompok di kalangan penduduk di daerah ini.
Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir Faisal Dato’ Mohd Khairi berkata, vaksin jenis Pfizer akan diberi percuma kepada warga dan bukan warga negara berusia 18 tahun ke atas.
“Orang ramai yang tiada aplikasi MySejahtera turut dijemput hadir ke lokasi mulai jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang.
“Orang ramai boleh hadir ke Dewan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut dan di Dewan Dato’ Chu Rahimah Jerantut,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, setakat 12 September, seramai 56,291 (78.95 peratus) orang telah menerima dos pertama, manakala 39,601 (55.54 peratus ) telah mendapat dos lengkap.
“PKD Jerantut mensasarkan seramai 71,300 penduduk 18 tahun ke atas bakal menerima suntikan vaksinasi,” katanya.-SAHIH.