Putrajaya sesak, orang luar ‘serbu’ cuti hujung minggu
Putrajaya sesak, orang luar ‘serbu’ cuti hujung minggu
PUTRAJAYA: Hari kedua peralihan kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk Lembah Klang menyaksikan Putrajaya penuh sesak ‘meriah’ dengan kehadiran orang luar.
Keadaan luar dugaan itu turut memperlihatkan beberapa taman awam di sini yang dibuka sejak pukul 7 pagi tadi diserbu pengunjung seolah-olah melepaskan ‘rindu’ untuk beriadah.
Namun sikap segelintir pelawat tidak menjaga jarak fizikal dengan berkumpul mengakibatkan pasukan Putrajaya Command Centre terpaksa tegur melalui pembesar suara alat siar raya.
Video eksklusif berkenaan turut dimuat naik menerusi laman sosial Perbadanan Putrajaya (PPj) memaparkan petugas pusat itu membuat hebahan ‘nasihat’ kepada mereka yang degil.
“Selamat petang, peringatan dari Putrajaya Command Centre, pastikan semua pengunjung memakai pelitup muka jika tidak bersenam atau makan minum, sekian terima kasih,” katanya.
Rakaman berdurasi selama 25 saat itu menunjukkan seorang kakitangan wanita PPj di pusat berkenaan membuat teguran ke atas orang ramai di sekitar Dataran Putrajaya yang sesak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob pada Rabu lalu mengumumkan Lembah Klang beralih daripada Fasa 1 PPN yang dikenakan sejak 15 Jun bagi mengekang wabak Covid-19.
Perubahan fasa itu menyaksikan tiada lagi sekatan jalan raya bermula semalam melibatkan kawasan tersebut termasuk empat di sekitar Putrajaya yang beroperasi sejak 13 Januari lalu.
Tinjauan mendapati, banyak lokasi tumpuan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu terutama dekat Masjid Putra, di Presint 1 dipenuhi kereta seolah-olah ada pesta keramaian.
Malahan akaun sosial PPj turut tular menerima lebih 2,000 tanda suka dan dikongsi ratusan kali oleh netizen selain hampir 1,000 komen dari warganet yang terkejut keadaan di Putrajaya.
“Aduh… Baru sahaja hendak rancang bawa anak kecil jalan bersiar-siar, seram pula tengok ramai begitu,” kata pengguna media sosial yang menggunakan nama Amylda Qismirza Injau.
“Semaklah tengok mereka ni orang luar datang beramai-ramai, kami warga Putrajaya pergi kerja balik kerja sahaja, lain-lain duduk rumah rehat,” kata netizen yang bernama Nazli Hamid.
“Sebelum ini, kita selalu pergi ke situ boleh kira dengan jari berapa buah kereta sahaja yang ada, tapi kali ini jumlahnya ramai pula sampai tiada parkir,” kata warganet dikenali Sukaimah.
Dalam pada itu, PPj menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya mengingatkan hanya mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke taman-taman awam sekitar Putrajaya.
Jumlah pengunjung hanya 50 peratus daripada keluasan taman itu manakala perkhidmatan sewaan basikal akan mula dibuka pada 1 Oktober depan dari 9 pagi hingga 6 petang sahaja.
Bagaimanapun orang awam dibenarkan berbasikal selain berjoging atau bersenam dengan jarak fizikal sekurang-kurangnya dua meter di kawasan terbuka tanpa ada aktiviti berkumpul, lapor utusan online
Terdapat 10 taman awam di sini antaranya Taman Wetland, Taman Wawasan, Taman Putra Perdana, Taman Botani, Taman Saujana Hijau, Taman Pancarona dan Taman Rimba Alam