Pembonceng maut sebelum sampai rumah
Pembonceng maut sebelum sampai rumah
SEBERANG PERAI – Seorang pembonceng lelaki warga Myanmar maut selepas terjatuh dari motosikal dinaikinya di Kilometer 5.5, Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) arah Prai di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, mangsa berketurunan Rohingya berusia 25 tahun tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian disyaki akibat kecederaan parah.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, kejadian berlaku ketika mangsa membonceng motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z bersama rakan senegaranya.
“Mereka dikatakan dalam perjalanan balik ke rumah di Bagan Dalam dari tempat kerja di Tasek Gelugor.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba pembonceng terjatuh dari motosikal dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah pada kepala,” katanya kepada pemberita hari ini,lapor kosmo online
Noorzainy berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas di sini bagi menjalani proses bedah siasat selepas memperoleh keputusan ujian Covid-19.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.