HILANG DERIA BAU TANDA JANGKITAN COVID-19
Berita Global
HILANG DERIA BAU TANDA JANGKITAN COVID-19
New York: Gejala neurologi atau yang berkaitan saraf, dikenal pasti antara gejala umum dialami pesakit Covid-19.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Annals of Clinical and Translational Neurology, baru-baru ini, ia mendapati terdapat pelbagai gejala dialami pesakit Covid-19.
Ia merangkumi gejala ringan seperti kesukaran memberikan perhatian, mengganggu memori jangka pendek hinggalah sukar menjalankan kerja secara ‘multitasking’.
Malah, hasil kajian itu juga mendapati, pesakit masih berdepan masalah berkenaan walaupun sudah pulih sepenuhnya.
NBC News melaporkan, penelitian itu dibuat di Northwestern Medicine di kalangan 509 pesakit pertama di 10 hospital di Chicago pada Mac dan April lalu, iaitu saat awal pandemik itu terjadi.
Sebahagian besar pesakit iaitu sebanyak 82 peratus mengalami masalah berkaitan sistem saraf.
Seorang daripada penulis jurnal berkenaan, Dr Igor Koralnik berkata, ia bermakna empat daripada lima pesakit yang dimasukkan ke hospital mengalami masalah saraf.
Menurutnya, gejala sakit otot juga turut dilaporkan oleh 44.8 peratus pesakit manakala, 37.7 peratus pesakit mengadu sakit kepala.
Katanya, hampir satu pertiga pesakit mengalami masalah fungsi otak yang serius dan ia banyak berlaku di kalangan pesakit berusia lebih 65 tahun.
“Terdapat juga pesakit yang berasa pening kepala, hilang deria bau dan rasa,” katanya.
Ahli Saraf di Mayo Clinic, Dr Alejandro Rabinstein berkata, banyak pesakit Covid-19 mengakui hilang deria rasa dan bau.
“Gejala ini mungkin menjadi petanda awal bahawa individi itu dijangkiti Covid-19.
“Mereka yang tiba-tiba hilang deria bau tanpa sebab yang jelas perlu mengambil berat masalah ini kerana ia kemungkinan tanda jangkitan Covid-19,” katanya.
HM online.