MENENTANG MUSUH KETIKA DARURAT DEMI TANAH AIR TANPA GAJI – MAT ARIFFIN (98 TAHUN)
MENENTANG MUSUH KETIKA DARURAT DEMI TANAH AIR TANPA GAJI – MAT ARIFFIN (98 TAHUN)
LIPIS : Bekas home guard (pengawal kawasan), Mat Ariffin Mat Deris, 98, pernah bertempur dengan komunis dalam serangan hendap di kawasan kampungnya, berdekatan Rantau Panjang di kawasan Sungai Golok bersempadan dengan Malaysia-Thai.
Mat Ariffin dilahirkan di Kampung Kuin Merah, Rantau Panjang, amat berbangga kerana menyimpan banyak kenangan bermula sejak zaman pendudukan Jepun, era Darurat 1948 sehingga negara mencapai Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Warga emas yang tinggal di Kampung Tanjung Buluh, Kerambit kira-kira 25 kilometer dari bandar Kuala Lipis dipercayai antara bekas home guard yang masih hidup berbanding dengan rakan lain sudahpun lama meninggal dunia.
Katanya, usia sebenarnya 110 tahun, bukan seperti tarikh lahir yang tertera di kad pengenalan kerana bapanya lewat membuat pendaftaran kelahiran disebabkan tinggal di pedalaman, tiada kemudahan lojistik lagipun masih belum ada penguatkuasaan sepenuhnya oleh kerajaan British ketika itu.
“Pada zaman saya sebagai home guard, penugasan saya dan pasukan ditempatkan di Kampung Banggul Cik Wan dan kawasan berdekatan di bawah pentadbiran Balai Polis Meranti dalam kawasan Pasir Mas yang ditadbir oleh seorang pegawai British yang juga mengajarkan cara berkawad dan menembak.
“Komunis memang ramai bergerak secara gerila di hutan dan memberikan ancaman keselamatan ketika itu malah boleh dikatakan setiap hari berlaku serangan hendap di kawasan kampung saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Buluh, dekat sini hari ini.
Mat Ariffin sukar mengingatkan kisah silamnya sambil dibantu seorang anaknya, Kamarulzaman, 47, berkata, penugasan bersama tujuh anggota dalam satu pasukan home guard daripada kira-kira 600 orang dalam kawasan itu berperanan membantu polis menjaga keselamatan kampung dan ketenteraman awan.
“Saya bersama penduduk lebih banyak memantau dan menjaga keselamatan di kampung termasuk sekatan jalan raya memeriksa kenderaan yang dikhuatiri menyeludup masuk makanan untuk dibekalkan kepada pengganas di hutan.
“Semasa bertugas, semua anggota home guard cuma dibekalkan senapang patah Johnson atau dikenali senapang Cap Burung Hantu untuk mengawal dan membedil pengganas ketika bertembung,” katanya.
Katanya, dia dan anggota sangat bersemangat waja dan patriotik, mempunyai disiplin yang tinggi, mematuhi arahan dan bersemangat sewaktu menentang musuh sehinggalah kami dititip nilai perjuangan yang tinggi walaupun tanpa dibayar gaji.
KLIK DI SINI UNTUK VIDEO PENUH
“Saya bersama rakan lain pernah bertempur dengan pengganas Komunis di daerah Weng, Sungai Golok dan semasa pertempuran itu kami berjaya menembak mati seorang serta mencederakan rakan pengganas lain.
“Semangat saya sejak dahulu tidak pernah luntur untuk berjuang melawan musuh dan nasihat kepada anak muda supaya mengikut semangat perjuangan pahlawan dan tokoh silam untuk mempertahankan tanahair di samping wajar taat setia kepada raja, pemerintah dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Sempena sambutan Hari Polis ke-214 peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Amad Shah, di Kuala Lipis, tahun ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan telah memberikan penghormatan jasa kepada Mat Ariffin dengan menyampaikan cenderamata, wang tunai dan sijil penghargaan.
Sementara itu, Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azri Mohd. Noor berkata, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menjadikan tokoh home guard itu sebagai ‘bapa angkat’ kepada semua anggota polis di Lipis.
“Selagi dia ada hayat, kita akan menjaga kebajikannya dengan dipantau oleh seorang pegawai polis di sini dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Tanjung Buluh.
“Pengorbanannya termasuk lima orang home guard yang masih hidup termasuk anggota polis di kampung ini sebagai teladan bagi IPD Lipis dan menjadikan Kampung Tanjung Buluh sebagai kampung angkat bagi tujuan membantu serta memantau kebajikan bekas anggota ini serta kerjasama kemasyarakatan dengan penduduk setempat,” katanya.-SAHIH.