DERA ANAK 5 TAHUN, IBU DAN TEMAN LELAKI DITAHAN
DERA ANAK 5 TAHUN, IBU DAN TEMAN LELAKI DITAHAN
MELAKA: Polis menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan menahan ibu mangsa serta teman lelakinya selepas dipercayai terlibat dalam kes penderaan di sebuah rumah pangsa di Banda Hilir, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa diselamatkan Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Melaka sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, pemeriksaan awal pasukan polis ke atas badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan.
Katanya, mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan dan tali pinggang oleh ibunya dan teman lelaki wanita berkenaan.
“Polis telah menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 9.25 malam dan sepasukan D11 telah ke lokasi.
“Hasil serbuan kita menjumpai seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibunya dan teman lelaki dengan terdapat beberapa kesan kecederaan pada badannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelasnya, mangsa adalah anak sulung dan mempunyai seorang adik perempuan berusia setahun, namun bayi tersebut tidak mengalami kecederaan.
Tambahnya, mangsa dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Melaka bagi menerima rawatan lanjut.
Mengulas lanjut, susulan itu, ibu mangsa, 30, dan teman lelakinya berusia 38 tahun diberkas di lokasi berasingan, hari ini.
“Suspek lelaki ditahan di pekarangan Balai Polis Bandar Hilir pada pukul 12.15 tengah malam, manakala ibu mangsa ditahan di rumahnya kira-kira 30 minit kemudian.
“Kedua-dua mereka kini direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” jelasnya, lapor Utusan Online
Tambahnya, suspek wanita mendakwa, mangsa merupakan anak hasil hubungan dengan pasangannya sebelum ini, manakala anak keduanya adalah anaknya bersama teman lelakinya itu.